BERLIN: Hansi Flick muncul jurulatih pertama memenangi enam perlawanan pertamanya bersama Jerman selepas membelasah Liechtenstein 9-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022, awal pagi tadi.
Jerman yang sudah mengesahkan tiket ke Qatar tahun depan, berpesta gol ke atas pasukan tercorot Kumpulan J itu untuk melakar kemenangan keenam berturut-turut sejak diambil alih oleh Flick, Ogos lalu.
Kemenangan tersebut membolehkan bekas jurulatih Bayern Munich itu mengatasi rekod
Joachim Loew, yang memenangi lima perlawanan pertamanya bersama Jerman sebelum seri menentang Cyprus pada 2006.
Loew yang meletak jawatan awal tahun ini selepas 15 tahun membimbing Jerman, diraikan sebelum sepak mula di Wolfsburg itu dan menyaksikan Flick mengatasi rekodnya.
“Saya gembira dapat memberikan Jogi (Loew) sembilan gol sebagai kenangan,” kata Flick.
Jerman beraksi tanpa beberapa tonggak selepas pemain pertahanan, Niklas Suele dijangkiti positif Covid-19 awal minggu ini, manakala Joshua Kimmich dan Jamal Musiala dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
Liechtenstein pula terpaksa beraksi 10 pemain sejak minit kesembilan apabila Jens Hofer dilayangkan kad merah selepas kakinya terkena leher Leon Goretzka.
Ilkay Gundogan menyempurnakan sepakan penalti akibat kekasaran itu sebelum Jerman meledak tiga gol dalam tempoh empat minit untuk mendahului 4-0 pada minit ke-25.
Ia bermula dengan Daniel Kaufmann tertampan hantaran lintang Christian Gunter ke gawang sendiri dan Leroy Sane meledak gol ketiga Jerman.
L
Sane kemudian melakukan umpanan untuk jaringan Marco Reus sebelum meledak gol keduanya pada perlawanan itu.
Thomas Mueller meledak gol keenam Jerman dan Ridle Baku menambah jaringan dengan sepakan lencong sebelum Mueller menjaringkan gol keduanya.
Liechtenstein dihukum dengan gol sendiri kedua menerusi Maximilian Goeppel yang cuba mengeluarkan hantaran Baku. – AFP