Impian Tok Gajah hancur berkecai - Utusan Malaysia

Impian Tok Gajah hancur berkecai

PENJAGA gol Sri Pahang menyelamatkan percubaan lawan dalam perlawanan Piala Malaysia menentang Sarawak United di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. - UtUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Peluang Sri Pahang untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia tertutup apabila tewas 1-2 dengan Sarawak United di Stadium Darul Makmur malam ini.

Anak-anak buah Dollah Salleh perlu menang untuk memintas Sarawak United tetapi gol minit akhir masa kecederaan oleh Abdul Rahim Abdul Razak memusnahkan hasrat Tok Gajah.

Sri Pahang memberi isyarat awal untuk meneruskan rentak kemenangan apabila bermula garang selepas sepakan Mohd. Nor Azam Azih pada minit kelapan hanya melepasi palang gol pelawat.

Anak buah E. Elavarasan juga tidak membiarkan tuan rumah menguasai perlawanan apabila sesekali mengancam pintu gol Sri Pahang yang dikawal Muhd. Razif Irfan Hishimuddin.

HEROLD Goulan membantu jentera serangan Sri Pahang dalam aksi Piala Malaysia menentang Sarawak di Kuantan malam ini. -UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Minit ke-13, Sri Pahang akhirnya berjaya mengatasi Sarawak 1-0 apabila penyerang import dari Australia, Kenny Athiu berjaya melakukan tandukan menewaskan bekas penjaga gol Sri Pahang musim lalu, Mohd. Sharbinee Alawee selepas menerima hantaran cantik Muhamad Ashar Al Afiz Abdullah.

Bagaimanapun kegembiraan anak buah Dollah tidak kekal lama selepas Sandro Da Silva berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan deras pada minit ke-31 menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Memasuki babak kedua, permainan agak seimbang antara kedua-dua pasukan apabila saling berbalas serangan.

Sri Pahang berjaya mendapat empat sepakan sudut dalam tempoh 15 minit perlawanan selain peluang yang dimiliki Mohd. Nor Azam Azih apabila bola hanya sedikit melepasi palang gol di awal separuh masa.

Harapan penyokong Sri Pahang untuk melihat pasukan mereka mendahului Sarawak United hampa apabila pengadil perlawanan, M. Jeebanathan tidak memberi sepakan penalti walaupun Kenny Athiu kelihatan dijatuhkan dalam kawasan kotak penalti pelawat pada minit ke-66.

Sri Pahang terus melancarkan serangan ke kubu lawan kerana menyedari hanya kemenangan boleh mencerahkan peluang Sri Pahang ke suku akhir Piala Malaysia.

Banyak percubaan anak buah Dollah berjaya digagalkan pemain Sarawak United yang lebih banyak bertahan di kawasan sendiri selain prestasi terbaik Mohd. Sharbinee.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya