PETALING JAYA: Kelantan FC mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia ketika saingan berbaki satu perlawanan selepas tumpas 1-2 kepada Sabah di Stadium Likas, malam ini.
Jaringan Sahrizan Saidin pada waktu kecederaan menyalakan semula harapan skuad Tambadau untuk memburu tiket suku akhir, namun dalam masa sama menyingkirkan The Red Warriors.
Kekalahan 1-2 Petaling Jaya City (PJ City) kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu lagi perlawanan membolehkan Sabah terikat dengan lima mata bersama PJ City.
Ketika JDT sudahpun mengesahkan tiket suku akhir lebih awal, aksi terakhir Kumpulan D minggu depan bakal menentukan siapa bakal mengikut jejak Harimau Selatan.
Sabah dan PJ City akan berentap dalam pertembungan ‘hidup mati’ di Likas, Selasa depan.
Dalam perlawanan hari ini, Kelantan FC membuka kempen dengan langkah kanan selepas Che Mohd. Safwan Hazwan meledak gol pembukaan dari jarak jauh pada minit kelima permainan.
Tuan rumah yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee hanya menunggu dua minit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi Amri Yahyah.
Memasuki babak kedua, Sabah bermain agresif sebelum akhirnya mendapat gol kemenangan selepas Sahrizan menewaskan penjaga gol lawan ketika permainan menunggu masa untuk ditamatkan.
Kemenangan 2-1 menceriakan kira-kira 5,000 penyokong Sabah yang hadir di stadium.