PETALING JAYA: Pernah mengendalikan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari 2014 hingga 2015, menjadikan Bojan Hodak ‘duri dalam daging’ buat Harimau Selatan dalam misi mereka mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, esok.
Hodak juga antara perintis kejayaan JDT apabila menghadiahkan trofi Liga Super pada tahun pertamanya di sana, sebelum kelab itu melebarkan kejuaraan buat kali kelapan berturut-turut.
Bekas penyerang Selangor, Rudie Ramli berkata, Kuala Lumpur (KL) City kini telah banyak berkembang sejak jurulatih dari Croatia itu membimbing pasukan tersebut, sekali gus berpotensi untuk menamatkan penantian 32 tahun mereka di Piala Malaysia.
Jelasnya, biarpun di atas kertas JDT lebih cenderung untuk menang, namun peluang KL City untuk memenangi perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu tetap ada.
“Mungkin ramai sudah lupa, Bojan merupakan bekas pengendali Harimau Selatan dan kelebihan juga ada pada KL City kerana dia tahu selok belok kelab tersebut.
“Kekurangan KL City buat masa ini adalah di bahagian pertahanannya kerana mereka tiada pertahanan tulen.
“Irfan Zakaria terpaksa diketepikan ekoran msalah kecederaan dan digantikan dengan Kenny Pallraj.
“Kalau kita tengok, Bojan telah nampak sesuatu kepada Kenny dan sanggup meletakkan pemain tengah itu bergandingan dengan Giancarlo Gallifuoco di bek tengah.
“Begitupun, Kenny membalas kepercayaan jurulatihnya dengan sangat baik dan kita boleh melihat aksi dia dalam perlawanan lalu.
“Kekuatan mereka semestinya di bahagian serangan. Sudah tentu penggempur berbisanya, Romel Morales yang kini menjadi penjaring terbanyak dengan 10 gol.
“Kotak penalti lawan bertambah rumit jika Romel bergandingan dengan Paulo (Josue). Tak mustahil KL City boleh lakar kejutan di final nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, Rudie yang pernah beraksi kelab Jerman, SV Wehen berkata, dia bagaimanapun menjangkakan JDT bakal mempertahankan gelaran dengan kemenangan diraih dalam tempoh 90 minit permainan.
“JDT sebuah kelab yang tidak asing lagi dan kita tahu kemampuan mereka bagaimana.
“Benjamin Mora pasti akan menurunkan barisan terbaik dalam perlawanan akhir nanti dan saya jangkakan mereka menang 1-0,” katanya.