IPOH: Perak FC akhirnya memecah kesunyian apabila mengumumkan pelantikan Hairul Anwar Mohamed selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab itu.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka-teki mengenai pelan penstrukturan yang tular melalui WhatsApp baru-baru ini.
Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Ahmad Yani Aminuddin ketika mengesahkan pelantikan Hairul Anwar itu berkata, pengumuman hanya boleh dibuat selepas kedudukan pegawai itu selaku exco Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) diselesaikan.
“Hairul Anwar sudah meletakkan jawatan selaku Exco Pafa, jadi dia kini boleh memegang jawatan CEO itu,” kata Ahmad Yani di sini semalam.
Sebelum ini timbul pertikaian termasuk dari Liga Bola Sepak Malaysia ( MFL) mengenai ura-ura pelantikan Hairul yang lebih dikenali sebagai Own ke jawatan itu berikutan statusnya itu.
Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, jawatan CEO kosong selama hampir enam bulan selepas peletakan jawatan Rizal Ali Naiz Ali pada10 Jun lalu.
Katanya, ketika itu Perak FC memutuskan untuk membiarkan jawatan itu kosong dan kemudian melantik Azman Noh atau Cikgu Man selaku Pengurus Besar (GM).
“Cikgu Man telah memegang jawatan sejak Ogos dan telah berusaha gigih menyelesaikan dan menyelamatkan pasukan.
“Kita hanya ada satu jawatan iaitu CEO atau GM, kedua-dua jawatan ini perlu didaftar kepada MFL,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Yani berkata, Perak FC mempelawa Cikgu Azman ke jawatan Ahli Lembaga Pengarah Perak FC semasa keputusan melantik CEO Itu diluluskan.
“Kita sedar potensi besar Cikgu Man dan berharap dia menyertai pasukan ini bagi membela nasib pemain.
“Kita sayangkan bola sepak Perak dan akan bersama-bersama bekerja ke arah mengembalikan kegemilangan dan maruah negeri dalam sukan ini,” katanya.