PETALING JAYA: Biarpun gagal mempamer aksi konsisten sejak akhir-akhir dan kalah pula dalam suku akhir pertama Piala Malaysia kepada Kuala Lumpur City (KL City), namun Selangor tetap memiliki ‘aura’ yang membolehkan mereka bangkit daripada ketinggalan.
Pernah melalui situasi di mana mereka tewas aksi pertama kemudian ‘melawan’ dalam perlawanan berikutnya, bekas tonggak Gergasi Merah era 90-an, Shahril Arsat yakin perkara itu tidak mustahil diulangi, apatah lagi stadium KL City di Cheras sudah seperti ‘rumah’ sendiri buat Selangor.
Kelmarin, anak-anak buah Karsten Neitzel menerima tamparan hebat apabila kalah 0-2 di laman sendiri.
Kekalahan itu memaksa mereka bukan sahaja wajib menang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Khamis ini, malah meledak lebih daripada dua gol jika mahu memburu tiket separuh akhir.
Shahril, yang juga anggota skuad treble Piala Malaysia 1995, 1996 dan 1997 Selangor berkata, Selangor mempunyai keunikan tersendiri setiap kali beraksi dalam kejohanan berprestij itu.
“Atas kertas, saya yakin Selangor mampu menang sebab mereka pasukan berpengalaman dalam kancah Piala Malaysia.
“Mereka pasti tidak mahu terkandas di peringkat awal kalah mati, sekali gus memaksa Selangor untuk terus berjuang habis-habisan.
“Ketika di zaman saya, tidak ingat tahun berapa dan berdepan pasukan mana….kami pernah juga ketinggalan tetapi hanya 0-1 ketika bermain di tempat lawan.
“Bagaimanapun kami berjaya bangkit pada perlawanan kedua,” katanya yang kini berusia 49 tahun ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.