LONDON: Gareth Southgate bakal ditawarkan kenaikan gaji sekali ganda kepada enam juta pound (RM33 juta) setahun untuk membolehkan dia kekal sebagai pengendali skuad kebangsaan England.
Southgate akan memimpin negaranya pada Piala Dunia di Qatar, tahun depan dan Persatuan Bola Sepak (FA) England bimbang akan kehilangan jurulatih berusia 51 tahun itu kepada kelab Liga Perdana Inggeris sejurus kejohanan berakhir.
Selepas membawa England muncul naib juara Eropah, Julai lalu, Ketua Eksekutif FA, Mark Bullingham mengumumkan mahu menyambung kontrak jurulatih kelahiran Watford itu.
Bagaimanapun Southgate dia tidak mahu memulakan rundingan sehingga England beraksi di Qatar.
Sekiranya Southgate memutuskan untuk tidak menyambung kontrak, FA mahu mencari pengurus kelahiran Britain dengan pengendali Brighton, Graham Potter menjadi pilihan.
“Saya gembira jika dia kekal lebih lama bersama pasukan tapi semua terpulang kepadanya dan FA. Ini keputusan peribadi, kita apa akan berlaku.
“Pencapaian England di bawah bimbingannya sudah membuktikan kemampuan Gareth. Separuh akhir Piala Dunia, final Euro…kami menuju ke landasan betul,” kata kapten England, Harry Kane.
Selepas bermula dengan gaji 1.8 juta pound (RM10.05 juta) setahun, gaji Southgate dinaikkan kepada tiga juta pound (RM16.75 juta) selepas Three Lions ke separuh akhir Piala Dunia di Rusia.
Dia bagaimanapun menerima pemotongan gaji satu juta pound (RM5.58 juta) tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
Jurulatih kelahiran Itali, Fabio Capello memegang rekod pengurus termahal England dengan gaji enam juta pound.
Southgate amat teruja untuk kembali menguruskan kelab Liga Perdana, 12 tahun selepas dipecat oleh Middlesbrough. – AGENSI