PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mencari dana sendiri untuk membida hak tuan rumah Piala Asia 2023 tanpa meminta dana kerajaan.
Badan induk bola sepak negara itu sedang melakukan persiapan rapi untuk menghantar bidaan selepas berakhir proses undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung Februari depan.
Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, selepas mendapat ‘lampu hijau’ Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjadi tuan rumah, maka langkah awal bermula sekarang.
Katanya, beberapa venue sedang diteliti dan berharap Lembah Klang menjadi pilihan utama untuk dijadikan ‘rumah’ Harimau Malaya dalam kelayakan yang bakal berlangsung Jun tahun depan.
“Jika kita berjaya membida, ia bukan hanya memberi kebaikan kepada pasukan kebangsaan. Sekarang ekonomi negara sudah dibuka, jadi kalau pelancong datang untuk tengok bola dan berbelanja di Malaysia ia akan menaikan taraf ekonomi kita.
“Memang kita tidak guna duit kerajaan dan FAM akan usaha sepenuhnya mencari dana.
“Kita kena tunggu Februari untuk tengok kita masuk kumpulan mana. Daripada kumpulan itu baru kita boleh tahu sama ada hanya Malaysia atau ada negara lain turut membida.
“Kita akan cuba sedaya upaya (membida), persiapan fasa kedua yang kita buat sekarang adalah mengenal pasti venue, hotel dan padang latihan. Kita juga perlu memastikan semua kemudahan boleh mengikut SOP (prosedur operasi standard (SOP) yang ada sekarang.
“Kita ada beberapa pilihan (venue) dan kalau boleh kita nak di Lembah Klang. Proses hantar bidaan adalah selepas undian dibuat, di mana pertandingan berlangsung pada Jun 2022,” katanya pada pelancaran jam edisi khas kedua G-Shock Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.
Terdahulu, Malaysia bersedia untuk membida salah satu daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada 24 pasukan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun depan.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan kelayakan Piala Asia 2023 akan diadakan secara berpusat dan semua perlawanan mengikut format ‘single round robin’.
Pada masa sama, AFC juga memaklumkan bahawa perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 itu akan diadakan pada 3 tarikh yang ditetapkan iaitu 8,11 dan 14 Jun 2022 nanti, namun venue perlawanan masih belum ditetapkan dan ia dibuka untuk bidaan kepada pasukan yang bersaing.