Dua beregu remaja cemerlang ke separuh akhir Antarabangsa Hungary - Utusan Malaysia

Dua beregu remaja cemerlang ke separuh akhir Antarabangsa Hungary

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua beregu remaja negara, Justin Hoh-Ong Tzen Yi dan Mohd. Fazriq Razif-Wong Vin Sean cemerlang melangkah ke separuh akhir badminton Antarabangsa Hungary di Budaors, malam tadi.

Kedua-dua pasangan lelaki negara yang memulakan kempen dari pusingan kelayakan berjaya mengalahkan lawan lebih berpengalaman pada dua perlawanan yang berlangsung pada hari sama.

Justin-Tzen Yi mudah menyingkirkan pilihan keempat dari Bulgaria, Ivan Rusev-Iliyan Stoynov 21-17, 21-9 pada pusingan kedua sebelum menumpaskan Sebastian Bugtrup-Mikkel Stoffersen dari Denmark 21-17, 21-19 di suku akhir.

Ujian getir bakal menanti beregu muda negara itu dalam separuh akhir malam ini apabila berdepan pilihan utama, Rory Easton-Zach Russ dari England.

MOHD. Fazriq Razif (kanan) bersama Wong Vin Sean.

Sementara itu, Mohd. Fazriq-Vin Sean yang baru digandingkan bulan lalu meraih tiket separuh akhir selepas mengalahkan Utkarsh Arora-Akshan Shetty dari India 21-13, 21-18.

Fazriq anak kepada legenda beregu, Datuk Razif Sidek dan Vin Sean sebelum itu turut menumpaskan pasangan Scotland, Joshua Apiliga-Callum Smith 21-18, 15-21, 21-8 di pusingan kedua.

Pilihan ketiga dari Denmark, Emil Lauritzen-Mads Vestergaard bakal menjadi halangan terbesar beregu negara itu untuk memburu tiket final.

Yeoh Seng Zoe

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki berakhir selepas Yeoh Seng Zoe kandas di suku akhir.

Selepas mengejutkan pilihan utama, Luka Wraber dalam aksi pembukaan, pemain profesional negara itu ditunjukkan jalan keluar oleh K. Sathish Kumar dari India 5-21, 18-21.

Terdahulu, Seng Zoe, pemain No. 159 dunia menumpaskan Adi Pratama dari Indonesia 21-19, 21-12 pada pusingan kedua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya