PETALING JAYA: Rombak pengurusan hingga kejurulatihan dan kaji semula majoriti pemain import jika Selangor tidak mahu sekadar hebat dalam ‘buku sejarah’.
Kekalahan 0-3 secara agregat kepada Kuala Lumpur City (KL City) pada suku akhir Piala Malaysia kelmarin membuktikan, Selangor sahaja telah ‘dilucutkan’ gelaran King of Malaya, malah mereka juga bukan lagi raja Lembah Klang.
Legenda Red Giants, Khalid Ali menyifatkan Selangor sebagai ‘menyedihkan’, malah menggesa perubahan besar dilakukan kerana sudah lama mereka berada di zaman kemerosotan.
“Pencapaian B. Sathianathan lebih baik daripada jurulatih Jerman ini (Karsten Neitzel), saya rasa dia tidak langsung memberi apa-apa impak kepada pasukan.
“Sudah dua tahun berlalu dengan bajet dikeluarkan lebih kurang RM40 juta tetapi apa yang ada?
“Saya harap Tengku Amir Shah (Sultan Sharafuddin Idris Shah, pengerusi Selangor FC) melakukan perubahan 360 darjah dalam pengurusan dan barisan kejurulatihan Red Giants.
“Saya masih percaya jurulatih dari Jerman kerana mereka antara terbaik di dunia tetapi kena ambil betul-betul bagus. Pemain import yang ada pun tak beri kelebihan kepada pasukan.
“Selangor ada pemain tempatan yang baik, jadi kita kena cari import lebih baik untuk membantu pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menamatkan kontrak Sathianathan pada September 2020 sebelum melantik Neitzel sebagai ketua jurulatih baharu, dua bulan kemudian.
Pernah digelar King of Malaya kerana sering menguasai bola sepak tempatan satu ketika dulu, Red Giants bagaimanapun sudah lama sepi daripada kejuaraan dengan trofi terakhir dimenangi adalah Piala Malaysia 2015.
Situasi itu nyata amat mengecewakan Khalid, yang pernah menjadi sebahagian daripada zaman kegemilangan Selangor dari 1976 hingga 1980 dan 1983-1985.