Diaz teruja kembali ke Kampung Kesang Tua - Utusan Malaysia

Diaz teruja kembali ke Kampung Kesang Tua

IDILYN Diaz melambai ke arah peminat yang tidak henti-henti mengunjungi kediamannya semalam sebaik sahaja dia kembali ke Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka, tempat di mana dia menjalani latihan sebelum merangkul pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: “Saya ingin habiskan masa bersama penduduk kampung dan menghargai mereka atas kejayaan saya di Tokyo.”

Itu reaksi pemenang pingat emas angkat berat Sukan ­Olimpik 2020, Hidilyn Diaz sebaik sahaja kembali ke Kampung Kesang Tua, Jasin, tempat di mana dia ‘berkampung’ selama beberapa bulan dalam persiapan ke Tokyo.

Diaz yang turut meraih pi­ngat perak di Olimpik Rio 2016 kembali ke Kampung Kesang Tua kelmarin dan akan berada di sini sehingga 20 November ini.

Dia mengejutkan peminat sukan dunia apabila mendedahkan hanya menjalani latihan di garaj kereta di rumah milik Naib Presi­den Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah dalam persiapan menghadiahkan emas pertama Filipina.

Menurut atlet berusia 31 itu, dia sepatutnya tiba di Malaysia dua minggu lalu, namun ter­halang disebabkan urusan visa pelancongan lewat diterimanya.

“Saya lega setelah beberapa bulan meraih kejayaan di ­Tokyo akhirnya impian untuk kembali ke kampung ini menjadi kenya­taan.

“Saya perlu menjalani kua­rantin di rumah selama tujuh hari dan selepas itu barulah berjumpa dengan penduduk kampung dan beberapa rakan yang sering membantu saya sewaktu menjalani latihan sebelum berangkat ke Olimpik,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Diaz yang menjuarai acara 55 kilogram wanita di Tokyo 2020, berkata, dia sangat terharu ke­rana sejak dari semalam hingga hari ini, penduduk kampung datang ke rumah dan ingin mengucapkan tahniah atas kejayaannya memenangi pingat emas Olimpik di Tokyo, tahun lalu.

KAMPUNG Kesang Tua di Jasin, Melaka sangat istimewa buat Hidilyn Diaz kerana di situlah dia menjalani latihan selama beberapa bulan sebelum merangkul pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020. – AFP

Katanya, dia hanya mampu mengangkat tangan dari pintu rumah dan tidak dapat berjumpa atau berbual dengan penduduk kampung.

“Apabila selesai menjalani kuarantin nanti barulah saya akan menerima kunjungan sesiapa sahaja dan saya ingin berjalan ke pasar malam dan pergi ke pekan Jasin,” ujarnya.

Anak perempuan seorang pengayuh beca itu berasal dari sebuah kampung miskin berhampiran pelabuhan Zamboanga di Mindanao berkata, di samping ingin meraikan penduduk di situ, dia tetap akan menjalani latihan seperti biasa.

HIDILYN Diaz memahat sejarah Filipina apabila memenangi pingat emas pertama negara itu di Sukan Olimpik dalam angkat berat di Tokyo.

Ditanya mengenai penyertaannya di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Uzbekistan pada 7 Disember ini, Diaz berkata, dia tidak pasti untuk menyertai pertandingan itu kerana tempoh yang singat untuk dia menjalani latihan.

Jelasnya, kebiasaannya untuk menghadapi satu-satu kejohanan terbesar, dia perlu menjalani latihan selama tiga bulan.

Diaz turut memasang impian untuk membina pusat latihan di Kampung Kesang Tua dengan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi pembangunan sukan itu sebagai tanda penghargaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya