LONDON: Edinson Cavani dilaporkan berang selepas Jadon Sancho meminta jersi No. 7 yang dipakainya di Manchester United.
Penyerang veteran itu bagaimanapun tiada masalah untuk memberikan nombor keramat tersebut kepada Cristiano Ronaldo apabila legenda kelab itu kembali ke Old Trafford.
Portal sukan The Athletic mendakwa, Cavani tidak gembira apabila Sancho memohon untuk memakai nombor tersebut ketika mengadakan rundingan dengan United.
Setahun lalu, pemain sayap berusia 21 tahun itu diberitahu, dia akan mendapat jersi No. 7 jika perpindahan diteruskan.
Bagaimanapun ketika itu, Borussia Dortmund menolak untuk melepaskan Sancho pada harga kurang daripada 100 juta pound (RM561.06 juta), memaksa Red Devils menunggu sehingga tahun ini untuk memeterai perjanjian.
Bagaimanapun Cavani, 34, tidak meninggalkan kelab seperti yang disangka, sebaliknya berjaya diyakinkan oleh Ole Gunnar Solskjaer untuk menyambung kontrak setahun lagi.
Apabila isu No. 7 dibangkitkan semula, Cavani menolak permintaan itu dan memaksa Sancho, yang berpindah ke United dengan bayaran 73 juta pound (RM409.57 juta) menggunakan jersi No. 25.
Cavani sebaliknya menawar diri untuk memberikan nombor tersebut kepada Ronaldo tanpa diminta sebaik sahaja mendengar berita bintang Portugal itu akan kembali dari Juventus.
Tindakan Cavani mendapat pujian Solskjaer yang menyifatkan bintang Uruguay tersebut seorang yang matang serta berjiwa besar.
“Edinson cukup biasa. Cristiano bercakap dengan Edinson dan mereka kemudian berbual.
“Memberikan jersi yang dipakai membuktikan betapa dia menghormati Cristiano, namun Cristiano juga memberikan penghormatan kepada Edinson,” katanya Solskjaer.