PETALING JAYA: Cabaran Malaysia dalam kejohanan badminton Indonesia Masters berakhir selepas dua pasangannya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kandas pada separuh akhir hari ini.
Misi Aaron-Wooi Yik untuk memburu kejuaraan pertama dalam tempoh dua tahun tidak kesampaian selepas ditunjukkan jalan keluar 18-21, 21-19, 17-21 oleh pasangan No. 10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.
Kekalahan itu memanjangkan kemarau dua tahun tanpa gelaran sejak Aaron-Wooi Yik sejak memenangi pingat emas Sukan SEA 2019.
Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo kalah buat kali ketiga berturut-turut kepada Hoki-Kobayashi selepas tewas dalam separuh akhir Piala Sudirman, September lalu dan peringkat kumpulan Piala Thomas, bulan lalu.
Pasangan negara itu akan beraksi dalam satu lagi kejohanan di Bali, Terbuka Indonesia dari 23-28 November depan dalam misi memburu tiket pada saingan penutup musim yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1.5 juta (RM6.23 juta), Jelajah Dunia Akhir (1-5 Disember).
Sementara itu, Yew Sin-Ee Yi memberi tentangan sengit kepada pasangan No. 1 dunia, Marcus Gideon-Kevin Sukamuljo sebelum tumpas 21-18, 17-21, 11-21.