PETALING JAYA: Demi mencari pengalaman antarabangsa, penjaga gol skuad bola sepak wanita negara, Nurul Azurin Mazlan dikatakan menerima tawaran untuk beraksi bersama sebuah kelab, yang akan bersaing dalam Liga Amatur di India.
Biarpun baru berusia 21 tahun, Nurul Azurin menyahut cabaran untuk beraksi selama dua bulan bersama kelab berkenaan yang akan menyediakan penginapan, makan dan tiket kapal terbang.
Menurut sumber, pemain kelahiran Klang itu menerima tawaran tersebut demi mengejar cita-cita beraksi di luar negara.
“Ini penjaga gol wanita Malaysia (menunjukkan gambar). Dia dapat tawaran Liga Amatur di India. Diberi penginapan, makan dan tiket pesawat.
“Liga dua bulan sahaja. Demi mengejar cita-cita untuk bermain di liga luar dia terima tawaran tersebut.
“Hai-O (bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar) ada menaja makanan kepada Azurin,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mengikut kontrak, Azurin perlu beraksi bersama kelab yang berpangkalan di Bengaluru, India itu bermula 1 Disember ini hingga 10 Februari 2022.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Azurin enggan mengulas perkara tersebut kerana tidak mahu mendahului kelab.
“Betul (dapat tawaran) tapi kita belum boleh dedah selagi kelab tak dedahkan,” katanya.
Azurin antara tonggak Malayan Tigress ketika menewaskan Palestin 2-0 dalam aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022, September lalu.
Sementara itu, Hai-O mengesahkan mahu menaja Azurin menerusi produk keluarannya berkonsepkan ‘sedia dimakan dan sedia dimasak’ iaitu sambal DuoBotak serta pes AdeqSue.
“Ya memang saya ingin bantu agar dia boleh berlatih dan beraksi dengan baik tanpa perlu memikirkan tentang makanan di sana.
“Lagi pun, dengar cerita dia tidak dapat elaun di sana tapi sanggup berkorban demi meraih pengalaman dan mengejar cita-cita,” katanya.