PETALING JAYA: Ketepikan dulu soal prestasi semasa juara 33 kali, Selangor kerana mereka kekal menjadi pilihan untuk berada di pentas akhir Piala Malaysia.
Memilih juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk berada di final, jurulatih UiTM FC, Wan Mustafa Wan Ismail mengakui Selangor masih relevan sebagai pilihan utama biarpun prestasi Gergasi Merah tidak menentu dalam peringkat kumpulan.
Selangor muncul naib juara Kumpulan B selepas mencatat empat kemenangan dan tewas dua kali kepada Terengganu.
“Saya jangkakan JDT akan bertemu Selangor di pentas akhir nanti. Kita tahu kemampuan JDT, tidak dinafikan lagi.
“Saya lebih suka beri pandangan mengikut sudut sejarah. Saya merupakan bekas pemain Selangor dan saya tahu bagaimana rasa ‘aura’ Gergasi Merah ketika bersaing dalam Piala Malaysia.
“Kita tahu prestasi Selangor agak kurang konsisten, tapi tidak boleh pandang rendah. Selangor boleh jadi ‘lain macam’ jika berada dalam keadaan tersepit.
“Sentuhan pemain Selangor di Piala Malaysia berlainan disebabkan gelaran yang mereka bawa,” kata bekas penolong jurulatih Harimau Malaya itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Suku akhir Piala Malaysia menyaksikan Kuala Lumpur (KL) City akan bertemu Selangor, manakala Sabah-Melaka United, Terengganu-Sarawak United dan Kedah-JDT.
Suku akhir pertama berlangsung Ahad ini, diikuti aksi timbal balik empat hari kemudian.
Bekas pengendali Selangor, K. Gunalan turut senada dengan Wan Mustafa, namun mengingatkan skuad bimbingan Karsten Neitzel itu agar berhati-hati dengan sebarang kemungkinan.
“Di atas kertas, JDT akan ke final, namun berdepan pasukan mana kita tak tahu. Begitupun, pilihan saya adalah Selangor.
“Tetapi mereka tidak boleh pandang rendah KL City mahupun Sabah atau Melaka United. Sebab dalam Piala Malaysia ini macam-macam boleh berlaku.
“Tengok Sarawak, walaupun berdepan masalah gaji namun masih boleh memberi aksi terbaik,” kata Gunalan.