LONDON: Legenda Liverpool, Steven Gerrard diumum sebagai pengurus baharu Aston Villa bagi menggantikan Dean Smith, semalam.
Membawa Rangers muncul juara Liga Scotland musim lalu antara kejayaan yang memikat pemilik Villa, Nassef Sawiris dan Wes Edens untuk menebus kontrak pengendali berusia 41 tahun itu.
Bekas kapten England itu akan membimbing Villa untuk berdepan bekas pasukannya, Liverpool di Anfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris, 11 Disember ini.
“Aston Villa kelab yang kaya dengan sejarah dan tradisi dalam bola sepak England. Saya bangga menjadi ketua jurulatih baharu.
“Dalam rundingan dengan Nassef dan Wes serta seluruh lembaga pengarah, mereka jelas mempunyai misi besar,” kata Gerrard yang membimbing Rangers sejak 2018.
Bekas ketua pasukan Liverpool itu masih memiliki kontrak dua tahun setengah bersama Rangers, namun The Gers memberi kebenaran kepadanya untuk berunding dengan Villa.
Tugas pertama Gerrard adalah membimbing Villa dalam aksi liga menentang Brighton di laman sendiri pada 20 November.
Villa bergelut sejak menjual Jack Grealish kepada Manchester City dengan perjanjian rekod Britain, 100 juta pound (RM558.43 juta).
Mereka kini hanya dua mata dipisahkan dari zon penyingkiran. – AGENSI