MANCHESTER: Manchester City kembali ke landasan terbaik apabila membenam Club Brugge 4-1 untuk menghampiri peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Selepas mendahului 1-0 menerusi jaringan Phil Foden seawal minit ke-15, City dikejutkan dengan gol sendiri John Stones, dua minit kemudian.
Riyad Mahrez kembali meletakkan City di depan pada babak kedua dan Raheem Sterling masuk dari bangku simpanan untuk menamatkan kemarau jaringannya sebelum Gabriel Jesus melengkapkan kemenangan.
City kini mendahului Kumpulan A dengan sembilan mata, satu mata mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) yang seri 2-2 dengan RB Leipzig dalam satu lagi perlawanan.
Jaringan Dominik Szoboszlai, dua minit memasuki waktu kecederaan memusnahkan harapan PSG untuk membawa pulang tiga mata dari Jerman.
Pelawat sebelum itu dikejutkan oleh gol awal Christopher Nkunku pada minit kelapan, namun dua jaringan bekas bintang Liverpool, Georginio Wijnaldum meletakkan PSG mendahului 2-1 sehinggalah Szoboszlai meledak gol penyamaan.
“Kami berhak menang. Saya suka cara kami bermain. Selepas gol sendiri, kami sedikit menurun tapi babak kedua sangat bagus,” kata bos Manchester City, Pep Guardiola. – AGENSI