PETALING JAYA: Zainal Abidin Hassan mahu memahat sejarah sebagai jurulatih pertama membawa Melaka United melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Biarpun beraksi hambar dalam Liga Super, namun skuad Kancil mengharungi kempen awal Piala Malaysia dengan cemerlang apabila mengejutkan Kedah (3-1), selain menumpaskan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan 2-0 untuk mengungguli Kumpulan C.
Zainal yang memenangi Piala Malaysia enam kali sebagai pemain pada era 80-an dan 90-an, selain membimbing Pahang muncul juara 2014 mengakui kejohanan kali ini amat istimewa kerana berlangsung pada sambutan 100 tahun.
“Piala Malaysia memang menjadi idaman setiap pemain dan jurulatih. Semua orang mengidamkan pentas akhir kerana ia piala terakhir untuk dimenangi setiap musim, terutama bersempena ulang tahun ke-100.
“Paling saya tidak boleh lupa adalah ketika membawa Pahang muncul juara (2014) menewaskan JDT (Johor Darul Ta’zim), kami menang dengan sepakan penalti.
“Kemeriahan ketika itu memang seronok dan sebagai jurulatih, saya amat berbangga.
“Sekarang, saya hendak membuat sejarah itu bersama Melaka United pula.
“Mereka tidak pernah beraksi di final, jadi, saya akan cuba sedaya upaya untuk bawa Melaka sejauh mungkin dalam kejohanan ini,” katanya.
Menjelang aksi ketiga Piala Malaysia yang bersambung pada 29 Oktober, Zainal mengesahkan pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya yang dibelenggu kecederaan sejak Julai lalu akan kembali beraksi.
Kehadiran pemain berusia 31 tahun itu bakal memperkuatkan pasukan memandangkan Gary Steven Robbat perlu berehat panjang susulan kecederaan buku lali, sekali gus terlepas kempen Piala Malaysia.
“Sepanjang cuti panjang, perancangan kami amat penting untuk mengekalkan momentum. Insya-Allah kami akan adakan aksi persahabatan,” kata Zainal.