KUALA NERUS: Pendahulu Kumpulan B, Terengganu FC berharap dapat memburu gol awal dalam aksi Piala Malaysia bertemu Perak FC di Ipoh malam ini.
Ketua Jurulatihnya, Mohd. Nafuzi Zain berkata, skuad Bos Gaurus tetap lawan yang sukar, dan Sang Penyu mahu memanfaatkan tempoh 20 minit pertama untuk mendapatkan rentak.
Katanya, Perak menunjukkan peningkatan dalam dua perlawanan peringkat kumpulan, sekali gus menjangkakan pertembungan sengit selepas sebulan berehat.
“Bukan mudah untuk bertemu Perak di rumah mereka, terutama dengan kehadiran pemain ke-12 iaitu penyokong.
“Walaupun melepaskan empat pemain import baru-baru ini tetapi Perak FC masih memiliki tiga tonggak yang boleh memberikan masalah kepada Sang Penyu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Nafuzi berkata, ketiadaan tiga pemain utama iaitu Azam Azmi Murad, Hakimi Abdullah dan Nik Akif Syahiran Nik Mat tidak akan menjejaskan pasukan.
“Dua kemenangan awal belum menjamin kelebihan Terengganu, FC tetapi kemenangan malam esok akan mencerahkan peluang kami ke suku akhir,” katanya.