MANCHESTER: Raheem Sterling mahu jaminan dia akan kekal sebagai tonggak penting Manchester City sebelum bersetuju menyambung kontraknya bersama skuad The Citizens.
Baki kontrak Sterling, 26, di Etihad berbaki dua tahun dan setakat ini belum ada rundingan dijalankan di antara kedua-dua pihak.
Sterling hanya disenarai dalam kesebelasan utama untuk empat daripada 11 perlawanan musim ini, selain disisihkan selama beberapa minggu pada saingan terakhir musim lalu.
Penyerang England itu yang kini menggalas tugas antarabangsa dalam kelayakan Piala Dunia 2022 terdesak untuk mendapat lebih banyak minit permainan bersama kelab.
Beberapa hari lalu, bekas bintang Liverpool itu mengadakan pertemuan ‘hati ke hati’ dengan pengendali City, Pep Guardiola dan menuntut lebih banyak peranan utama.
Barcelona antara pasukan yang mengikuti situasi itu dengan rapat.
Newcastle yang kini mendapat pemilik kaya dari Arab Saudi juga menyenaraikan Sterling sebagaia pemain yang diingini pada pasaran perpindahan, Januari depan.
City bagaimanapun menegaskan, mereka tidak bercadang melepaskan Sterling dan berharap untuk mengekalkannya.
“Raheem boleh beraksi dengan baik dalam perlawanan penting, dia sentiasa menunjukkan kesungguhan.
“Sebagai penyerang, dia sering mencipta gerakan-gerakan di depan pintu gol,” kata Guardiola. – AGENSI