LONDON: Legenda Manchester United, Gary Neville menjangkakan Ole Gunnar Solskjaer tidak akan dipecat walaupun prestasi Red Devils merudum dan jurulatih itu berdepan masalah dengan Cristiano Ronaldo.
Kekalahan 2-4 kepada Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin menyaksikan United gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir, sekali gus meletakkan mereka di tangga keenam menerusi 14 mata, lima di belakang pendahulu, Chelsea.
Aksi hambar yang sama turut ditunjukkan Red Devils dalam beberapa perlawanan sebelum ini menentang Villarreal, West Ham (dua kali), Aston Villa dan Everton.
Sejurus tamat permainan, Ronaldo berjalan terus ke bilik persalinan sambil menundukkan kepala dengan mulutnya kelihatan mengomel.
Solskjaer terpaksa mengarahkan bintang Portugal itu memberi penghormatan kepada peminat yang datang ke Leicester.
Dia menuruti arahan apabila berjalan ke arah penyokong sebelum bergegas meninggalkan padang.
Neville sedar Solskjaer berdepan tekanan untuk menghadirkan trofi dalam musim ketiga bersama United, terutama dengan kehadiran Ronaldo Jadon Sancho.
“Saya rasa mereka (United) sudah ada pengalaman dengan (David) Moyes, Jose (Mourinho) dan (Louis) van Gaal, jadi kelab akan kekal dengan perancangan.
“Ole dalam tekanan tapi dia tidak akan dipecat, tiada keraguan terhadap perkara itu.
“Saya tahu penyokong tidak gembira kerana ramai yang mahukan pengendali baharu,” katanya.
Selepas aksi Sabtu lalu, Neville menyifatkan United kurang bagus, manakala Alan Shearer dan Micah Richards membidas kelab itu kerana hilang indentiti.
Kedudukan Solskjaer mungkin akan terancam jika United tumpas kepada musuh ketat, Liverpool, Ahad ini. – AGENSI