PETALING JAYA: Memulakan aksi dari pusingan kelayakan, pemain berusia 17 tahun, Siti Nurshuhaini Azman cemerlang mengetuai kemaraan empat wakil Malaysia ke final badminton Terbuka Czech, awal pagi tadi.
Tiga lagi wakil negara yang turut meneruskan cabaran di Brno adalah Ng Tze Yong, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Anna Cheong-Teoh Mei Xing.
Siti Nurshuhaini yang meraih pengalaman beraksi dalam Piala Uber buat kali pertama, awal bulan ini menyingkirkan pemain India, Ananya Parveen 21-9, 21-10.
Pemain yang berasal dari Rawang itu berpeluang memenangi kejuaraan antarabangsa pertamanya jika berjaya mengejutkan pilihan kelapan dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani dalam final perseorangan wanita malam ini.
Dalam perseorangan lelaki, Tze Yong yang turun sebagai pilihan keenam tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Jason Teh Jia Heng dari Singapura 21-15, 21-14.
Menantinya dalam perlawanan akhir malam nanti wakil tuan rumah, Jan Louda.
Beregu lelaki, Wei Chong-Kai Wun pula menyingkirkan Egor Kholkin-Alexandr Zinchenko dari Rusia 21-14, 21-14 untuk menempah pertemuan dengan pasangan Singapura, Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean.
Terry-Kean Hean terdahulu mara selepas mengalahkan satu lagi beregu muda negara,
Chia Wei Jie-Low Hang Yee 21-16, 21-19.
Dalam beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing menumpaskan pasangan Rusia, Anastasiia Boiarun-Alena Iakovleva 21-19, 21-8 untuk berdepan gandingan Indonesia, Febby Valencia Dwijayanti Gani-Jesita Putri Miantoro.
Febby-Jesita menumpaskan pasangan Malaysia, Go Pei Kee-Yap Ling 21-15, 21-10 di separuh akhir.