PETALING JAYA: Peluang Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk mengembangkan karier kini menyala apabila penjaga gol Selangor itu bakal menjalani sesi percubaan dengan kelab Divisyen 2 Sepanyol, Fuenlabrada, 10 November ini.
Kata pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) tahun negara itu, dia sudah bersedia untuk berkelana ke luar negara, malah turut mendapat sokongan daripada majikannya, Selangor.
“Insya-Allah saya akan menjalani sesi percubaan dengan kelab Divisyen 2 Sepanyol, CF Fuenlabrada, 10 November ini selepas habis kelayakan Piala Asia B-23 2022. Jika diberi peluang, saya mahu berhijrah ke tempat lain.
“Bukan kata Liga Malaysia tidak bagus tapi saya nak cari pengalaman yang bagus,” ujarnya.
Sikh Izhan antara penjaga gol pilihan pengendali skuad B-22 negara, Brad Maloney untuk mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia bermula Isnin depan.
Berhubung kontraknya bersama skuad Gergasi Merah, anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang itu berkata, dia tetap menghormati Selangor dan majikannya juga tidak mempunyai masalah untuk melepaskannya.