LONDON: Manchester United menyenaraikan empat calon, termasuk bekas pengendali Liverpool, Brendan Rodgers sebagai potensi untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.
Menurut media Britain, pengurusan tertinggi Red Devils mempertimbangkan kedudukan Solskjaer selepas dimalukan 5-0 oleh Liverpool di laman sendiri, Ahad lalu.
Kekalahan itu menyaksikan United kalah tiga daripada empat aksi terakhir Liga Perdana Inggeris dan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea selepas sembilan perlawanan.
Solskjaer menegaskan, dia tidak akan meletak jawatan ekoran kekalahan buruk kepada musuh ketat mereka, namun difahamkan lembaga pengarah United sedang menilai semula kedudukannya.
Menurut The Sun, United sudah mengarahkan ‘ejen terbaik’ untuk mencari jurulatih paling layak bagi menggantikan bekas penyerang Red Devils itu.
Selain Rodgers, turut berada dalam senarai Antonio Conte, Zinedine Zidane dan Ketua Jurulatih Ajax, Erik Ten Hag.
Rodgers, 48, bagaimanapun mempunyai klausa pelepasan 16 juta pound (RM91.34 juta) kerana masih mempunyai kontrak empat tahun bersama Leicester City.
Conte pula tidak mempunyai pasukan sejak meninggalkan Inter Milan musim panas lalu kerana tidak sehaluan dengan pengurusan tertinggi kelab.
Pernah membimbing Chelsea, jurulatih kelahiran Itali itu membawa Inter muncul juara Serie A beberapa minggu sebelum meletak jawatan.
Conte, 52, menjadi calon utama untuk menggantikan Solskjaer kerana dia juga amat berminat menyertai Red Devils berbanding calon lain.
Seperti Conte, legenda Real Madrid, Zidane juga tidak mempunyai pasukan sejak meninggalkan gergasi La Liga itu buat kali kedua, Mei lalu.
Berusia 49 tahun, Zidane yang membawa Real memenangi dua kejuaraan La Liga dan tiga Liga Juara-Juara bagaimanapun mengintai peluang untuk menggantikan Didier Deschamps sebagai Ketua Jurulatih Perancis.
Sementara itu, Ten Hag turut menjadi sasaran Newcastle United yang kini dimiliki pemilik kaya dari Arab Saudi.
Pengendali berusia 51 tahun itu membimbing Ajax sejak Disember, 2017 dan membawa mereka menjuarai gelaran berganda Belanda dua kali. – AGENSI