MILAN: Sheriff Tiraspol, kelab mana tu? Mesti akan jadi ‘lauk’ dalam Kumpulan D.
Itu persepsi awal peminat bola sepak sebaik sahaja juara Moldova tersebut diundi bersama tiga lawan yang berpengaruh dalam Liga Juara-Juara, Real Madrid, Inter Milan dan Shakhtar Donetsk.
Kemenangan 2-0 ke atas Shakhtar dalam aksi pertama membuka mata peminat, namun mengejutkan juara 13 kali, Real 2-1 di stadium keramat, Santiago Bernabeu menjadikan kelab kerdil itu semakin dipandang serius.
Esok, skuad bimbingan Yuriy Vernydub akan menentang juara tiga kali, Inter Milan di San Siro dan mereka tidak segan meletakkan sasaran memburu kemenangan ketiga berturut-turut.
Enam mata yang dipungut dalam dua aksi pertama memberi keyakinan luar biasa kepada pendatang baharu liga itu, apatah lagi Inter tidak bermain baik pada dua perlawanan mereka selepas kalah 0-1 kepada Real dan diikat 0-0 oleh Shakhtar.
Jika skuad Nerazzurri mengandaikan pertemuan dengan Sheriff mudah dan peluang terbaik untuk mengutip kemenangan pertama, mereka silap.
Inter juga berada pada prestasi goyah dalam saingan domestik selepas kalah 1-3 kepada Lazio, Sabtu lalu dan menghuni tangga ketiga Serie A ketika ini.
Sheriff sebaliknya memenangi lapan daripada 10 perlawanan domestik, malah hanya kalah sekali daripada sembilan aksi Eropah (termasuk Liga Europa) di tempat lawan.
Dalam proses tersebut, mereka menang lima kali, sekali gus menjadikan Sheriff ‘si kerdil’ yang amat digeruni. – AGENSI