PETALING JAYA: Sembilan tahun selepas meninggalkan Malaysia, Rexy Mainaky berjanji akan membawa badminton negara ke tahap lebih tinggi berbanding sepanjang tujuh tahun membimbing skuad kebangsaan dari 2005 hingga 2012.
Legenda Indonesia itu berkata, perancangan jangka panjang Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebab utama beliau menerima lamaran kembali ke negara ini sebaik sahaja kontrak empat tahun di Thailand berakhir bulan ini.
Rexy, 53, juara Olimpik 1996, selain pemenang kejuaraan dunia 1993, 1995 dan 1997 bersama Ricky Subagja adalah jurulatih yang mengangkat beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.
Antara pencapaian terbaik Kien Keat-Boon Heong adalah muncul juara All England (2007), meraih emas Sukan Asia (2006) dan bergelar No. 1 dunia.
Zakry-Fairuzizuan juga pernah menghuni ranking No. 1 dunia di bawah Rexy.
“Harapan saya dapat buat lebih baik lagi daripada apa yang saya lakukan sebelum ini.
“Mengapa kembali ke Malaysia? Program BAM cukup bagus. Mereka sudah persiapkan pemain muda untuk Olimpik 2028, selain mempunyai program untuk Olimpik 2024 juga.
“Saya percaya Malaysia ada potensi yang cerah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fokus utama Rexy yang akan melapor diri sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan BAM pada 1 Disember ini lebih terarah kepada saingan beregu.
Katanya, Malaysia memiliki ramai beregu berpotensi seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin-Goh Sze Fei, namun mereka kurang konsisten.
Selepas meninggalkan Malaysia pada 2012, Rexy menghabiskan setahun di Filipina sebelum kembali ke Indonesia sebagai Pengarah Prestasi Tinggi.
Dia kemudian dilantik sebagai Ketua Jurulatih Thailand pada 2017.
Rexy membawa Thailand muncul naib juara Piala Uber di Bangkok, tiga tahun lalu.
Kantaphon Wangcharoen juga muncul perseorangan lelaki pertama mereka meraih gangsa Kejohanan Dunia, tahun lalu.
Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pula menjadi pasangan pertama layak ke final beregu campuran.