PETALING JAYA: Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia mengakui dia sering bergelut untuk mengekalkan fokusnya apabila beraksi di tahap tertinggi.
Juara All England itu berkata, kegagalan memberi fokus penuh antara punca dia tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen pada suku akhir badminton Terbuka Denmark di Odense, semalam.
Walaupun memberi tentangan sengit dan mendahului di set kedua, Zii Jia terpaksa akur 19-21, 19-21 di tangan pemain No. 2 dunia itu.
“Ia perlawanan sukar terutama ketika detik mata penentuan set pertama dan kedua. Saya cuba buat yang terbaik tetapi dia (Axelsen) lebih yakin.
“Saya fikir selepas Olimpik, Viktor bermain lebih yakin dan sentiasa di tahap tertinggi. Amat sukar untuk menang ke atas dia sekarang.
“Saya pula sukar mengekalkan fokus apabila beraksi di tahap tertinggi. Ini salah satu daripada kelemahan saya ketika ini dan saya akan berusaha untuk mengatasinya,” katanya.
Kejayaan menumpaskan Zii Jia bermakna Axelsen berjaya melunaskan dendam selepas tewas kepada pemain itu pada final All England, Mac lalu, selain melebarkan rekod kemenangan kepada 4-2.
Terbuka Denmark adalah kejohanan ketiga berturut-turut buat Zii Jia, 23, selepas beraksi pada Piala Sudirman di Vantaa, Finland, awal bulan ini dan Piala Thomas di Aarhus, minggu lalu.
Pemain kelahiran Kedah itu akan mengalihkan fokus menghadapi Terbuka Perancis yang bermula Selasa ini dengan aksi pertama menentang pemain Singapura, Loh Kean Yew.