PETALING JAYA: S. Kisona tidak menafikan, komen berbaur perkauman yang diterima dalam media sosial baru-baru ini memberi kesan psikologi kepada dirinya.
Perseorangan wanita negara itu berkata, biarpun cuba untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut, namun pada akhirnya dia hanya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada merasa sedih dan terluka.
Pemain badminton berusia 23 tahun itu bagaimanapun tidak mahu kontroversi yang berlaku ketika dia menyertai Piala Sudirman di Finland, menganggu tumpuannya yang kini menggalas cabaran Malaysia dalam Piala Uber di Denmark.
“Jelas (ia menjejaskan saya) kerana saya juga seorang manusia… Namun, saya perlu mengalih fokus pada perlawanan akan datang, saya serahkan kepada keluarga, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyelesaikan isu ini,” katanya yang dipetik kepada Bernama.
Kenyataan berbaur perkauman dibuat ke atas pemain No. 53 dunia dalam media sosial oleh seorang ahli politik selepas beliau tewas mudah kepada jaguh No. 5 dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun pada separuh akhir Piala Sudirman, 2 Oktober lalu.
Ketika wartawan mengajukan isu tersebut kepadanya selepas sesi latihan di Ceres Arena, Aarhus kelmarin, pemain kelahiran Seremban itu tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.
Sementara itu, bercakap mengenai aksi pembukaan Kumpulan D menentang Denmark malam ini, Kisona yang bakal berdepan pemain No. 12 dunia, Mia Blichfeldt berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan sudah bersedia untuk berjuang sehingga keringat terakhir biarpun sedar lawan mereka memiliki ranking lebih tinggi.
“Ini akan menjadi kempen Piala Uber kedua saya selepas edisi Bangkok 2018. Setakat ini saya selesa dengan venue dan cuaca (walaupun ada masanya mencecah bawah 10 darjah Celcius). Sudah pasti saya mahu beraksi dengan lebih baik berbanding Piala Sudirman dan tidak mahu merendahkan diri saya walaupun lawan saya lebih bagus.
“Saya rasa pasukan kita pun ada kekuatan sendiri, cuma pengalaman sahaja kurang. Kita akan beraksi dengan bersungguh-sungguh dan berjuang untuk memburu kemenangan, takkan kita datang untuk kalah,” katanya.