PETALING JAYA: Tidak mahu ‘kehilangannya’ bersama skuad Harimau Malaya menimbulkan salah faham, Dion Cools tampil menegaskan, dia amat serius bermain untuk Malaysia dan bangga menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Semalam, peminat bola sepak mempersoalkan ketelusan tonggak pertahanan berusia 25 tahun itu bermain untuk Malaysia selepas disisihkan daripada skuad kebangsaan dalam dua perlawanan
persahabatan di Jordan atas alasan kecederaan.
Bagaimanapun pada masa sama, Cools diturunkan selama 10 minit oleh kelabnya, FC Midtjylland sebagai pemain gantian ketika menumpaskan Aarhus Gymnastikforening 4-0 dalam saingan Superliga Denmark.
“Semua orang tahu saya amat bangga bermain untuk Malaysia. Ia satu penghormatan dan saya mengambilnya dengan sangat serius.
“Semua orang mempersoalkan ketiadaan saya dalam kem latihan, jadi biar saya jelaskan. Saya mengalami kecederaan serius/retak (tulang) dan tidak 100 peratus (cergas).
“Kelab dan saya bersetuju menggunakan waktu rehat (antarabangsa) untuk tempoh pemulihan, namun itu bermakna saya bakal
terlepas dua perlawanan skuad kebangsaan. Saya harap semua faham dan menghormati keputusan saya,” katanya dalam Instagram.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe juga tampil menjernihkan keadaan dengan memaklumkan penampilan 10 minit Cools dalam perlawanan itu hanya sebahagian proses pemulihan.
Biarpun mengakui, ketiadaan pemain kacukan Malaysia-Belgium itu satu kerugian, namun paling penting dia pulih untuk bermain pada masa akan datang.
“Isu Cools biasa sahaja. Kita selalu mendapatkan maklum balas kelab (Midtjylland). Cools belum pulih 100 peratus, itu sebab ramai tertanya kenapa dia tidak dipanggil.
“Walaupun ramai kata dia bermain semalam tetapi dia diturunkan pada 10 minit terakhir dan ia salah satu sesi pemulihan untuk pemain yang cedera,” katanya.