‘Sakit tapi terpaksa ditelan’ - Utusan Malaysia

‘Sakit tapi terpaksa ditelan’

PASUKAN Negeri Sembilan terpaksa menarik diri daripada kempen Piala Malaysia selepas lebih separuh pemain dijangkiti Covid-19. - IHSAN NEGERI SEMBILAN FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Biarpun amat kecewa, namun Negeri Sembilan terpaksa menerima hakikat menarik diri daripada Piala Malaysia pilihan terbaik yang ada ketika ini selepas lebih separuh pemain mereka dijangkiti Covid-19.

Semalam, Ne­geri Sembilan FC (NSFC) mengesahkan 20 pemain dan empat pegawai mereka positif virus ber­kenaan hingga memaksa pasukan melupakan kempen Piala Malaysia yang kembali bersambung minggu depan.

Pengendali skuad Jang, K. Devan berkata, keputusan itu bukan sahaja mengecewakan pemain yang berada pada ‘mood’ terbaik selepas menjuarai Liga Perdana, malah menyedihkan penyokong ketika stadium mula dibuka kepada penonton.

K. DEVAN mengakui, penarikan diri bukan sahaja mengecewakan pasukan, malah penyokong yang tidak sabar hendak kembali ke stadium.

“Keputusan pasukan menarik diri mengambil kira ke­adaan fizikal pemain selepas dijangkiti Covid-19. Mereka tidak akan dapat kembali kepada kecergasan terbaik atau berlatih dalam latihan berintensiti tinggi dalam tempoh singkat, kita tidak mahu paksa pemain.

“Dalam tempoh post Covid-19 biasa, ia memerlukan satu hingga dua minggu untuk kembali kepada keadaan normal, selepas itu pemain perlu berlatih de­ngan latihan fizikal berintensiti tinggi.

“Dengan keadaan sekarang, untuk buat latihan seperti itu kena berjaga-jaga bimbang boleh membawa kepada kom­plikasi lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kata Devan, penularan ­Covid-19 dalam pasukan mula dikesan hasil ujian Transkripsi Balikan-Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR) yang diadakan pada 18 Oktober lalu.

Ujian itu dilakukan sehari selepas perlawanan persahabatan menentang Penang FC yang dibatalkan pada 17 Oktober.

“Sehari sebelum perlawanan, pemain dan pegawai menjalani ujian RTK-Antigen dan keputusan semua negatif, namun pada masa sama ada seorang pemain demam.

“Bimbang dengan perkara itu, pihak pengurusan memutuskan untuk membatalkan perlawanan yang dijadual berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

“Keesokan hari, semua pemain dan pegawai menjalani ujian RT-PCR dan pada masa itu 20 pemain dan pegawai disahkan positif Covid-19,” katanya.

 

MOHD. Zaquan Adha Abd. Radzak (kiri) antara pemain yang dijangkiti Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah.

Kata Devan, semua yang dijangkiti menjalani kuarantin di rumah masing-masing dan baki enam pemain dan pegawai, termasuk dirinya akan menjalani saringan kedua, hari ini.

Ketua pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak mengesahkan dia antara yang dijangkiti wabak tersebut.

“Ya, saya juga turut dijangkiti Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah,” katanya ringkas.

Sebelum aksi persahabatan menentang Penang FC dibatalkan, NSFC menentang skuad bawah 22 tahun negara di Su­bang pada 12 Oktober.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya