LONDON: Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi semakin berdebar menghitung hari sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebaik sahaja musim ini berakhir di Sepanyol bulan depan.
Rossi, 42, antara pelumba paling berjaya dalam kejuaraan dunia dengan memenangi 89 gelaran (MotoGP/500cc) sepanjang kariernya.
Selepas 25 tahun berlumba, dia akan menutup kariernya bersama pasukan Petronas SRT Yamaha di Grand Prix (GP) Valencia, 14 Oktober ini.
GP Emilia Romagna minggu depan pula menjadi penampilan terakhir Rossi di laman sendiri di Misano, Itali yang hanya terletak 14 kilometer dari bandar kelahirannya, Tavullia.
Penganjur menambah 10,000 tiket untuk perlumbaan itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menonton aksi terakhir wira mereka.
“Saya agak paranoid terhadap Valencia. Saya rasa, saya belum bersedia untuk bersara.
“Ketika mengumumkan perkara tersebut (hasrat bersara) di Austria (GP Styria, 8 Ogos) ia tidaklah terlalu mengganggu saya.
“Bagaimanapun, semakin dekat perlumbaan di Valencia, keadaan menjadi bertambah sukar kerana hidup saya akan berubah.
“Saya akan berhenti menjadi pelumba MotoGP. Ia tidak mudah, namun sekarang adalah waktu terbaik,” kata Rossi kepada DAZN.
Legenda motosikal Itali yang terkenal dengan julukan The Doctor itu memenangi tujuh gelaran 500cc dan MotoGP dunia di antara tahun 2001 hingga 2009, kesemuanya bersama pasukan Honda serta Yamaha.
Sejak membuat penampilan sulung pada 2000, Rossi sudah 199 kali menaiki podium, namun kemenangan terakhirnya adalah di Assen 2017.
Menuju ke penghujung karier, dia tidak mengharungi kempen yang baik.
Rossi sekadar menamatkan kempen dalam kelompok 10 terbaik dua kali musim ini, selain menduduki tangga ke-21 dalam kejuaraan keseluruhan dunia. – AGENSI