LONDON: Legenda bola sepak Belanda, Danny Blind mendakwa, Cristiano Ronaldo adalah punca Manchester United bergelut sejak akhir-akhir ini.
Bintang Portugal itu sudah meledak lima gol daripada tujuh perlawanan sejak kembali ke Old Trafford, malah menjaringkan gol kemenangan waktu kecederaan ketika menewaskan Villarreal pada saingan Liga Juara-Juara.
Begitupun, mereka tewas kepada Young Boys (Liga Juara-Juara) dan Aston Villa (Liga Perdana), selain disingkirkan West Ham (Piala Liga) serta seri 1-1 menentang Everton.
Blind yang merupakan bapa bekas pertahanan United, Daley percaya, Ronaldo adalah ‘masalah’ terbesar Red Devils.
Dia mendakwa, Ronaldo ‘hanya memikirkan tentang gol’ dan tidak membenarkan United beraksi dengan gaya sebenar.
Blind turut membandingkan Ronaldo, 36, dengan Paul Pogba yang lebih vokal.
“Ronaldo tidak memainkan peranan aktif. Ia seperti…‘ambil masa kamu’. Anda juga nampak pemain lain seperti memandang dengan persoalan ‘bagaimana kami hendak selesaikan masalah ini?’.
“Biasanya, penyerang akan berlari dari seorang pertahanan ke pertahanan lain.
“Anda boleh nampak Paul Pogba mengarahkan pemain apa perlu dilakukan agar terus memberi tekanan tapi Ronaldo tidak buat perkara itu, sebab dia bukan begitu.
“Dia hanya fikir tentang gol dan berharap pemain lain akan mendapatkan bola, dia hanya menunggu,” kata Blind kepada Sportnieuws. – AGENSI