MANCHESTER: Cristiano Ronaldo bukan sahaja menyelamatkan Manchester United daripada keciciran mata, malah mendorong lembaga pengarah menilai semula hasrat melantik Antonio Conte sebagai pengendali baharu Red Devils.
Semalam, ketika United di ambang keciciran mata pada kedudukan 1-1, bintang Portugal itu meledak gol kemenangan, lima minit memasuki waktu kecederaan di Old Trafford untuk menumpaskan Villarreal 2-1 pada saingan Liga Juara-Juara.
Selepas dikejutkan 2-1 oleh Young Boys dalam aksi pembukaan, satu lagi kekalahan atau keputusan seri meletakkan kedudukan pengendali pasukan, Ole Gunnar Solskjaer dalam bahaya.
Menurut media England, lembaga pengarah yang hadir di stadium sudah bersedia mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat dan mahu memulakan rundingan dengan pengendali kelahiran Itali, Conte.
United bermula ‘langkah kiri’ apabila membenarkan Villarreal mendahului 1-0 menerusi Paco Alcacer pada minit ke-53, namun Alex Telles menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-60.
Ronaldo, 36, gagal menyerlah dalam perlawanan itu dan tidak banyak mencipta gerakan bahaya, namun tendangan kaki kanannya pada minit ke-95 memberi sumbangan amat besar buat pasukan dan jurulatih.
Sejak kembali ke pangkuan United, pemenang Ballon d’Or lima kali itu telah memberi sumbangan besar dengan meledak lima gol daripada lima perlawanan. – AGENSI