LONDON: Brendan Rodgers tidak berminat untuk menyertai Newcastle kerana disebut-sebut sebagai pengganti Pep Guardiola di Manchester City dalam tempoh 18 bulan.
Pada masa sama, Magpies dilaporkan cuba memancing bintang penyerang Chelsea, Timo Werner apabila jendela perpindahan dibuka Januari ini selepas pengambilalihan bernilai 305 juta pound (RM1.73 billion) oleh hartawan Arab Saudi.
Sumber mengesahkan bahawa pengendali Leicester, Rodgers adalah calon untuk menggantikan Guardiola pada hujung musim ini.
Guardiola yang menyertai City pada 2016 tidak mahu menyambung kontraknya yang berakhir 2023 kerana mahu memenuhi impian menjadi jurulatih skuad kebangsaan.
Nama Rodgers menjadi bualan pemilik baharu Newcastle dan menjadi calon terbaik untuk membawa kelab itu menjadi pencabar kejuaraan.
Dalam pada itu, Magpies mahu memperkuatkan jentera serangan dengan menjadikan Werner sebagai sasaran Januari ini.
Chelsea sebelum ini mendapatkan pemain itu pada harga 48 juta pound (RM272.55 juta) pada Jun 2020 dari RB Leipzig tetapi gagal menyerlah bersama Blues apabila hanya meledak enam gol setakat ini.
Atas dasar itu, Chelsea mengambil keputusan untuk membawa masuk Romelu Lukaku dengan nilai perpindahan 97.5 juta pound (RM553.62 juta) sebagai peledak utama menggantikan Werner. – AGENSI