LEICESTER, England: Penjaga gol, Aaron Ramsdale muncul wira Arsenal apabila aksi cemerlangnya membantu Gunners melebarkan rekod tanpa kalah kepada sembilan perlawanan (semua pertandingan) ketika menumpaskan Leicester City 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Arsenal yang semakin menunjukkan peningkatan memperoleh dua gol dalam tempoh 18 minit pertama menerusi Gabriel dan Emile Smith-Rowe.
Beraksi di laman sendiri di Stadium King Power, Leicester turut memperoleh beberapa peluang keemasan, namun ketangkasan Ramsdale mengecewakan anak-anak buah Brendan Rodgers.
Ramsdale turut menyelamatkan sepakan bebas James Maddison sebelum tamat babak pertama, sebelum menepis beberapa percubaan lawan di separuh masa kedua.
Kemenangan ketujuh musim ini membolehkan Gunners mendaki ke anak tangga kelima, manakala Leicester jatuh ke kedudukan ke-10. – AGENSI