LONDON: Rakan-rakan Donny van de Beek di Manchester United menasihati bintang muda Belanda itu agar meninggalkan Old Trafford, Januari depan, malah telah mempengaruhinya untuk menukar ejen bagi merealisasikan perpindahan tersebut.
Pemain yang ‘tidak dikehendaki’ itu memberitahu ejen lamanya, Guido Albers bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh Red Devils selepas mengadakan perbincangan hati ke hati dengan pengurusan kelab.
Sejak menyertai United dari Ajax tahun lalu dengan yuran perpindahan 35 juta pound (RM198.34 juta), pemain tengah berusia 24 tahun itu sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Van de Beek berharap Albers dapat membantunya meninggalkan Old Trafford dalam masa terdekat, namun selepas mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan di bilik persalinan, dia dinasihatkan mencari ejen baharu untuk menyegerakan perpindahan.
Selepas Albers gagal membantunya mendapatkan pasukan baharu, dia kemudian mendaftar di bawah Ali Dursun, ejen yang menjaga pertahanan United, Victor Lindelof dan pemain tengah Belanda serta Barcelona, Frenkie de Jong.
Menurut Daily Mail, United telah mengadakan rundingan dengan Everton dan Wolverhampton mengenai potensi Van de Beek dipinjamkan kepada dua kelab Liga Perdana Inggeris itu pada perpindahan Januari.
Bagaimanapun Dursun mempunyai idea berbeza mengenai masa depan pemain tersebut, yang hanya beraksi empat kali dalam kesebelasan utama di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer. – AGENSI