NAIROBI: Polis sedang memburu suami kepada Agnes Tirop yang dipercayai melarikan diri selepas pemegang rekod dunia itu ditemui mati di kediamannya.
Ketua Polis Iten, Kenya, Tom Makori memaklumkan, pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap suami Tirop sebagai suspek utama berhubung kes pembunuhan itu.
Tirop dilaporkan hilang oleh bapanya Selasa lalu sebelum polis menemui mayat mangsa di rumahnya.
“Apabila anggota polis tiba di rumah itu, mereka menemui mayat mangsa di atas katil.
“Mangsa didapati telah ditikam di bahagian leher oleh senjata tajam seperti pisau dan kami percaya ini telah menyebabkan kematiannya.
“Suami mangsa masih belum dapat dikesan dan pencarian secara besar-besaran telah dilancarkan dengan harapan dia dapat memberitahu apa yang berlaku terhadap Tirop,” kata Makori.
Polis sedang meneliti rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.
Tirop turut ditemui dengan kesan tikaman di bahagian perut, lapor BBC.
Baru berusia 25 tahun, Tirop berjaya meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia 2019 dan 2017, selain muncul juara Merentas Desa Dunia 2015.
Dia juga menduduki tangga keempat dalam acara 5,000 meter pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Bulan lalu, Tirop turut memecahkan rekod dunia dalam acara 10 kilometer (lebuh raya) wanita di Jerman. – AGENSI