Piala Uber tutup kempen di tangga terakhir - Utusan Malaysia

Piala Uber tutup kempen di tangga terakhir

S. KISONA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat Malaysia untuk mengelak kedudukan tercorot Kumpulan D bagaimanapun berakhir dengan kekalahan 1-4 kepada Kanada pada kempen terakhir Piala Uber awal pagi tadi.

Kejohanan badminton berpasukan wanita itu juga pengalaman yang buruk buat perseorangan wanita negara, S. Kisona yang bukan sahaja kalah semua perlawanannya, malah tewas dengan keputusan mudah.

Direhatkan dalam pertemuan menentang China, Kisona kembali ke gelanggang dengan harapan untuk menghadiahkan mata pertama kerana lawannya hanyalah pemain No. 183 dunia, Talia Ng.

Malangnya pemain No. 53 dunia tumpas 9-21, 14-21 dalam masa 36 minit, sekali gus memberi permulaan sumbang buat negara.

Malaysia menurunkan Teoh Mei Xing-Yap Ling sebagai beregu pertama, dan pasangan No. 68 dunia itu memberi tentangan kepada gandingan ranking ke-20, Rachel Honderich-Kristen Tsai sebelum kalah 21-13, 10-21, 14-21.

Harapan untuk menyaksikan Eoon Xi Quan melakar satu lagi kejutan di Aarhus, Denmark tidak kesampaian apabila dia tewas 12-21, 13-21 kepada pemain No. 1855 dunia, Rachel Chan.

Selepas digandingan dengan Lee Meng Yean dalam dua perlawanan pertama, M. Thinaah yang kehilangan gandingan sebenarnya, Pearly Tan akibat kecederaan sekali lagi mendapat pasangan berbeza.

Kali ini dia bergandingan dengan Go Pei Kee, dan mereka berjaya menghadiahkan mata tunggal Malaysia dengan menewaskan Catherine Choi-Crystal Lai 21-12, 21-13.

K. Letshanaa yang turun sebagai perseorangan ketiga gagal menambah mata selepas tumpas 21-17, 16-21, 12-21 kepada kepada Wen Yu Zhang.

“Ini adalah kali pertama digandingkan dan tidak banyak fikir hanya mahu turun untuk berjuang mengumpul setiap mata dengan harapan mencapai kemenangan.

“Malangnya kami tidak dapat membantu mengubah kedudukan tetapi kemenangan dalam saingan ini cukup bermakna dan menggembirakan kami,” kata Thinaah.

Menghantar ramai pemain muda pada Piala Uber kali ini, Malaysia kalah dalam semua perlawanan selepas tewas 1-4 kepada Denmark, diikuti 0-5 di tangan China.

Kekalahan ketiga itu menyaksikan pasukan negara menghuni tangga tercorot Kumpulan D.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya