PETALING JAYA: Seorang yang peramah, lucu dan mudah ketawa, namun beregu negara perlu bersedia dengan karakter sebenar Rexy Mainaky yang tegas apabila legenda badminton Indonesia itu kembali ke Malaysia, Disember ini.
Bekas beregu No. 1 dunia, Mohd. Zakry Latif berkata, bekas juara Olimpik dan dunia itu mempunyai corak latihan keras dan mampu ‘menyukarkan’ pemain, namun semua dilakukan demi menaikkan mereka.
Isnin lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Rexy akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan selepas sembilan tahun meninggalkan negara ini apabila dilantik sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan.
Kepulangan Rexy dianggap tepat ketika Malaysia sedang melakukan persiapan memburu pingat Sukan Olimpik 2024, apatah lagi badminton negara tidak memiliki banyak beregu yang mampu mencabar dunia.
Zakry, 38, berkata, jurulatih berusia 53 tahun itu tahu bagaimana hendak mengeluarkan yang terbaik daripada pemain, menaikkan motivasi dam inspirasi, malah dianggap ‘abang’ ketika zamannya.
“Saya berada di bawah bimbingannya untuk tempoh yang lama. Dia suka mengusik dan kelakar tapi bila masuk gelanggang, Rexy bertukar menjadi individu berbeza. Dia serius dan latihannya juga keras.
“Mereka (beregu negara) kena kental menerima latihan Rexy. Saya tak dapat bayangkan macam mana kerasnya, betul-betul menguji, malah dia tak bagi peluang nak ‘main-main’.
“Dia sudah buktikan kemampuan dengan mengangkat beregu Malaysia selama tujuh. Dia juga terbukti menaikkan pemain-pemain Thailand.
“Saya masih ingat, suatu ketika Malaysia ada sehingga enam beregu lelaki dalam kelompok 12 terbaik dunia.
“Kerana dia Koo Kien Keat-Tan Boon Heong muncul juara All England dan Sukan Asia, kami pula pernah meraih gangsa Kejohanan Dunia 2009 di India.
“Memang ‘keras’ tapi sangat..sangat bertuah dapat berlatih di bawah Rexy,” kata Zakry kepada Utusan Malaysia.
Bersama Mohd. Fairuzizuan Tazari, Zakry juga berjaya menghadiahkan gangsa buat Malaysia dalam Sukan Asia 2002 di Busan, selain memenangi kejuaraan utama seperti Terbuka Indonesia dan Singapura 2008.
Selepas melatih skuad kebangsaan dari dari 2005 hingga 2012, Rexy kemudian menyertai Filipina, sebelum kembali ke Indonesia dan menjadi Ketua Jurulatih Thailand selama empat tahun sejak 2017.