PETALING JAYA: Jika prestasi Piala Uber dan Piala Sudirman menjadi penilaian, misi Malaysia untuk memburu sebanyak mungkin slot dalam badminton di Sukan Olimpik Paris 2024 penuh dengan ranjau.
Bekas beregu wanita No. 1 negara, Woon Khe Wei berkata, berdasarkan tiga perlawanan yang berlangsung di Aarhus, Denmark, kelihatan jurang prestasi yang besar dalam kalangan pemain negara, terutama selepas ketiadaan Pearly Tan dan Lee Meng Yean yang cedera.
Katanya, kesemua pemain perlu diberikan lebih banyak kejohanan agar mereka dapat membiasakan diri.
“Memang jelas jurang itu sangat besar. Mereka masih muda, jadi kena kerja keras lagi untuk menaikkan prestasi dan kalau boleh sertai lebih banyak pertandingan.
“Kalau keadaan begini berterusan, memang susah nak ke Paris sebab mereka masih takut lagi untuk beraksi di pentas besar,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam
Dalam aksi terakhir Kumpulan D semalam, Malaysia tewas 1-4 kepada Kanada dan mata tunggal negara disumbangkan gandingan M.Thinaah-Go Pei Kee.
Mengulas mengenai persembahan dan K. Letshanaa, Khe Wei berkata, mereka kelihatan sangat gugup dalam permainan dan tidak biasa beraksi pada kejohanan besar seperti itu.
Katanya, mereka cuba bermain tetapi rasa takut itu masih ada kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Memang saya kesian tengok Siti main, nampak dia takut tetapi kita faham dia masih remaja dalam fasa untuk ke peringkat senior.
“Macam Siti dengan Letshanaa, mereka ini banyak menyertai kejohanan di peringkat remaja dan sudah sampai masa kena beri mereka peluang bersaing di peringkat senior untuk membiasakan diri.
“Mereka ada masa depan yang baik cuma mereka perlu dibimbing sebaiknya selain beri mereka lebih pendedahan,” katanya.