PETALING JAYA: Biarpun sedar Harimau Malaya tidak membawa skuad terbaik, membariskan ramai pemain baharu dan hanya beraksi dalam aksi persahabatan, namun kekalahan 0-4 kepada Jordan di Amman semalam sukar diterima peminat bola sepak tanah air.
Penyokong yang kecewa dengan prestasi anak-anak buah Tan Cheng Hoe, terutama benteng pertahanan yang rapuh melepaskan geram dengan menyerang media sosial Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Kita ada kualiti tapi fizikal tak kuat…power dan speed takda. 11 player…purata size badan rendah dan kecik…Jordan..purata player tinggi,” tulis pemilik akaun Yahya Al Fariz Hanez dalam Facebook FAM.
“Tak faham kenapa dan bagaimana Malaysia masih main dengan teruk, tak tahu mana silapnya..bila tengok negara-negara jiran macam Vietnam/Thailand main ke, game play dorang even kalah tapi still ada effort untuk fight tapi Malaysia?,” kata Amir Hamzah.
“Dengan satu pun shot on target takde, main bola apa? Sampai bilalah team bola Malaysia nak macam ini? Langsung tiada kemajuan. Nak kena ubah minat ke sukan gimnastik pulak la gamaknya selepas ini,” tulis Md Azrie.
“Berbeza permainan dengan adanya Mat (Matthew) Davies, Corbin Ong, Brendan Gan…supersub (Mohamadou) Sumareh..(jangan kecam, ini cuma pendapat peribadi),” kata Mohd Hairi.
Ada peminat juga mengakui ‘ngeri’ untuk menonton perlawanan persahabatan kedua di Amman, menentang Uzbekistan, Sabtu ini kerana lawan mereka memiliki ranking dunia lebih baik (84) berbanding Jordan (93).
Malaysia pula berada pada kedudukan 154 dunia.