LONDON: Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2022 bakal menjadi musim terpanjang dalam sejarah sukan permotoran dunia apabila pelumba perlu menempuh 21 pusingan perlumbaan.
Pada musim 2020 dan 2021, saingan terpaksa disingkatkan dari 20 pusingan kepada 18, malah rata-rata dianjurkan di Eropah ekoran sekatan perjalanan serta prosedur ketat kesihatan di beberapa negara akibat pandemik Covid-19.
Antara perlumbaan yang terkesan dengan Covid-19 dan dibatalkan ialah Grand Prix (GP) Jepun, Australia, Thailand dan Malaysia.
Musim depan, perlumbaan pembukaan akan berlangsung pada 6 Mac di Qatar.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan perlumbaan kedua dalam kalendar 2022 akan berlangsung di litar baharu iaitu di GP Indonesia pada 20 Mac.
Kali terakhir Indonesia menganjurkan Kejuaraan Motosikal Dunia adalah pada 1997 di Litar Sentul dan kali ini, mereka sudah menyiapkan litar di Mandalika, Lombok.
Perlumbaan di Finland pula dijadual berlangsung buat kali pertama di litar baharu, KymiRing pada 10 hingga 12 Julai.
Sementara itu, GP Argentina akan kembali menganjurkan perlumbaan pada April selepas dua tahun terpaksa menangguhkan penganjurannya akibat terkesan dengan Covid-19.
MotoGP akan kembali ke Eropah pada 24 April di GP Portugal, diikuti enam perlumbaan lain yang akan berlangsung di Jerez, Le Mans, Mugello, Barcelona, Sachsenring dan Assen pada Mei serta Jun. – AGENSI