ROME: Jose Mourinho tidak mahu dikaitkan dengan jawatan pengurus Newcastle United.
Biarpun Steve Bruce masih menggalas tugas itu, namun dia dijangka dipecat dalam masa terdekat, terutama selepas kekalahan 2-3 The Magpies kepada Tottenham di St. James’ Park semalam.
Mourinho antara yang dikaitkan sebagai pengganti Bruce, tetapi jurulatih kelahiran Portugal itu yang kini membimbing AS Roma menolak spekulasi kepulangannya ke Liga Perdana Inggeris.
“Tidak ada apa-apa yang saya ingin kata (tentang Newcastle).
“Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah saya pernah bekerja dengan tokoh penting dalam sejarah Newcastle – Sir Bobby Robson.
“Kerana itu saya mempunyai sedikit hubungan emosi dengan kota tersebut dan peminatnya. Tidak lebih daripada itu. Saya sekarang di sini dan amat gembira berada di sini.
“Saya 100 peratus fokus dengan projek Roma, projek Friedkin,” katanya.
Selain Mourinho, Newcastle melihat Paulo Fonseca, Frank Lampard dan Roberto Martinez sebagai calon untuk jawatan itu. – AGENSI