BODO, Norway: Jose Mourinho menegaskan, dia bertanggungjawab atas kekalahan memalukan 1-6 Roma kepada juara Liga Norway, Bodo/Glimt dalam Liga Konferensi Europa semalam.
Pengendali dari Portugal itu cuba ‘melindungi’ pasukannya menjelang pertemuan penting menentang pendahulu Serie A, Napoli esok apabila merehatkan sebahagian tonggak dan membariskan skuad kedua di Stadium Aspmyra, Bodo.
Kata Mourinho, dia perlu memastikan pasukannya segar apabila berdepan Napoli yang tidak kalah lapan perlawanan setakat ini, namun peminat sebaliknya melihat jurulatih itu sengaja ‘mencari jalan’ untuk keluar dari Itali dan menyahut cabaran bersama Newcastle.
Dalam media sosial, penyokong mendakwa Mourinho sering menggunakan taktik sama ‘mengalami penurunan prestasi’ untuk keluar dari kelab seperti yang berlaku ketika dipecat oleh Tottenham, Manchester United, Chelsea serta Real Madrid.
“Jose Mourinho amat terdesak untuk meletakkan namanya dalam senarai utama calon pengurus Newcastle,” tulis Twitter Paddy Power.
Jose Mourinho is desperate to put his name forward for the Newcastle job.
— Paddy Power (@paddypower) October 21, 2021
“Mourinho mahu memastikan dia dipecat sebelum Krismas untuk membolehkan namanya dalam senarai utama calon pengurus Newcastle,” kata pemilik akaun Fpl_MD.
“Roma tewas 6-1 kepada pasukan yang tidak banyak menang. Tidak hairanlah Mourinho memuji Newcastle United beberapa hari yang lalu,” kata Project Football.
“Mourinho mahu dirinya dipecat, jadi dia boleh ke Newcastle,” tulis alejandro.
Mourinho, 58, berkata, dia terpaksa merehatkan tonggak untuk mengelak risiko kecederaan dan mengakui lawan memiliki skuad yang lebih baik.
“Saya bertanggungjawab, saya yang memilih pemain ini.
“Jika saya menggunakan pemain utama, mungkin ada yang akan cedera, kemudian kami boleh dibolosi empat atau lima gol berdepan Napoli pada Ahad dan keputusan itu pastinya juga dianggap salah.
“Pasukan yang diletakkan Bodo hari ini lebih berkualiti berbanding skuad kedua kami,” kata Mourinho.
Kapten Roma, Lorenzo Pellegrini menyifatkan kekalahan itu sebagai ‘memalukan’ dan ibarat ‘ditampar di muka’.
Gergasi Itali itu bergelut beraksi di bawah suhu dua darjah Celsius di Lingkaran Artik.
Erik Botheim meledak hatrik, manakala kapten, Patrick Berg, Ola Solbakken dan Amahl Pellegrino masing-masing menambah derita Roma. – AGENSI