IPOH: Peminat Perak yang amat merindui aksi skuad Bos Gaurus tetapi tidak sabar untuk menunggu saingan Piala Malaysia bersambung pada 29 Oktober ini boleh hadir ke Stadium Perak, Ipoh malam esok untuk menyaksikan perlawanan persahabatan menentang Kelantan FC.
Seramai 3,500 penonton dibenarkan memasuki stadium, dengan syarat sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, selain berumur 18 tahun ke atas.
Stadium juga dibuka kepada peminat untuk perlawanan persahabatan kedua menentang Kedah, 20 Oktober dengan tiket dijual pada harga RM10.
Skuad Bos Gaurus juga akan diuji oleh Penang FC dalam perlawanan persahabatan ketiga pada 23 Oktober, namun aksi tersebut akan berlangsung di Pulau Pinang.
“Tiga perlawanan ini pentas terbaik menguji dan menilai kemampuan pelatih sebelum turun semula dalam kempen Piala Malaysia.
“Pemain telah menjalani latihan intensif selama dua minggu dan kini tiba masa menguji dan melihat perkembangan mereka,” kata pengurus pasukan, Rashidi Abdul Rahim.
Menurutnya pemain menunjukkan semangat dan kesungguhan tinggi semasa latihan dan ia petanda baik buat pasukan.
“Saya berharap mereka mampu mengekalkan semangat seperti dalam dua perlawanan awal.
“Pemain sudah percaya dengan diri sendiri dan yakin untuk bertindak dalam perlawanan.
“Saya berharap mereka kekalkan momentum seperti sekarang ini,” katanya.