LONDON: Pelumba Britain, Elinor Barker mendedahkan, dia sedang mengandung anak sulung sewaktu memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi acara kejar-mengejar berpasukan.
Barker yang memperkuatkan skuad sewaktu Great Britain menamatkan cabaran di belakang pemenang pingat emas, Jerman di Velodrom Izu, Ogos lalu mengumumkannya menerusi Twitter kelmarin.
“Saya dan pasangan seperti tidak percaya, kami rasa sungguh bertuah dan sangat teruja untuk melalui fasa baharu.
“Kami akan melalui kehidupan baharu ini bersama,” katanya, yang turut memenangi emas Olimpik Rio 2016 dalam kejar-mengejar berpasukan.
Dalam pada itu, pelumba berusia 27 tahun itu turut mengucapkan syabas kepada mereka yang meneka dengan tepat dia sedang hamil ketika berlumba di Tokyo.
“Kepada mereka yang mata tajam seperti helang dan berasakan saya sedang mengandung. Memang saya sedang mengandung waktu itu,” kata Barker yang berkahwin dengan jejaka Wales yang hanya dikenali sebagai Casper.
Bintang tenis Amerika Syarikat (AS), Serena Williams hamil dua bulan ketika memenangi Grand Slam ke-23 pada Terbuka Australia 2017.
Bercakap kepada Cycling Podcast, Barker berkata, dia hanya mengetahui hamil beberapa hari sebelum perlumbaan.
“Ia agak mengejutkan, saya tidak sangka mengandung.
“Saya hanya dapat tahu ketika berada di Tokyo dan sedia beraksi,” katanya. – AGENSI