TURIN: Hugo Lloris memuji kehebatan Kylian Mbappe yang membantu Perancis bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Belgium 3-2, sekali gus mara ke final Liga Negara-Negara awal pagi tadi.
Theo Hernandez meledak gol kemenangan pada lewat permainan bagi mengesahkan pertemuan akhir dengan Sepanyol di San Siro Ahad ini, namun Mbappe mengetuai kebangkitan hebat pada babak kedua dalam penampilan ke-50 bersama Perancis.
Juara dunia itu ketinggalan 0-2 pada babak pertama hasil jaringan Yannick Carrasco dan Romelu Lukaku.
Bagaimanapun mereka tampil garang sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung apabila Karim Benzema merapatkan kedudukan 1-2 pada minit ke-62.
Tujuh minit kemudian, Les Bleus dihadiahkan sepakan penalti, dan Mbappe tampil mengambil tendangan biarpun masih dibayangi kegagalan menyempurnakan penalti dalam Euro 2020 yang menyaksikan Perancis tersingkir awal.
Penyerang berusia 22 tahun itu akhirnya muncul pemain termuda berjaya meledak penalti buat Perancis ketika menyamakan kedudukan 1-1.
“Mengambil tanggungjawab itu (menyempurnakan penalti) dalam perlawanan ini memang menakjubkan.
“Ya, dia seorang pemain berbakat besar, namun lebih daripada itu dia memiliki mentaliti juara. Kami semua dalam bilik persalinan tumpang gembira dengannya,” kata Lloris.
Ia juga malam sempurna buat Hernandez yang baru menyambut ulang tahun ke-24 apabila meledak gol antarabangsa pertama ketika digandingkan bersama abangnya, Lucas buat julung kali.
“Kebangkitan menakjubkan. Tidak ramai yang percaya kami mampu melakukannya, menentang pasukan terbaik di dunia tetapi kualiti dan maruah pasukan Perancis ini amat tinggi,” kata pengendali Perancis, Didier Deschamps. – AGENSI