LONDON: Apakah Newcastle United bakal mengalami transformasi luar biasa seperti Manchester City atau Paris Saint-Germain (PSG)?
Itulah yang diharapkan penyokong The Magpies selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut diambil alih Public Investment Fund (PIF) yang dipengerusikan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.
PIF yang memiliki aset 320 bilion pound (RM1.82 trilion) menamatkan pemilikan 14 tahun Mike Ashley dengan mengambil alih 80 peratus pegangan pada nilai 305 juta pound (RM1.73 bilion).
Penyokong bersorak di luar Stadium St James’ Park semalam sebaik sahaja berita itu disahkan.
Legenda kelab, Alan Shearer yang turut teruja menulis dalam Twitter: “Sekarang kita boleh berani memasang impian semula.”
Mereka mengharapkan pemilik baharu bakal membawa sinar buat kelab yang kali terakhir menjulang trofi utama dengan menjuarai Piala FA 1955.
Melihat bagaimana City bertukar menjadi gergasi EPL sejak diambil alih jutawan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour pada 2008 membuatkan peminat Newcastle teruja.
Tidak lama selepas pembelian dimeterai, kelab dikatakan akan memberi dana 200 juta pound (RM1.13 bilion) untuk membina pasukan tanpa melanggar peraturan Financial Fair Play (FFF).
“Liga Perdana Inggeris mendapat jaminan bahawa kerajaan Arab Saudi tidak akan mengawal Kelab Bola Sepak Newcastle United,” menurut kenyataan yang dikeluarkan EPL.
Ketua Pegawai Eksekutif PCP Capital, Amanda Staveley berada dalam lembaga pengarah, manakala Gabenor PIF, Yasir Al-Rumayyan dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif. – AGENSI