LONDON: Liverpool bersedia menawarkan yuran perpindahan lumayan untuk menjadikan Mohamed Salah pemain termahal kelab, namun laporan yang mengatakan bintang Mesir itu menuntut gaji 500,000 pound (RM2.85 juta) seminggu adalah tidak betul.
Portal sukan TEAMtalk melaporkan, Salah dan ejennya, Ramy Abbas Issa tidak pernah menuntut 500,000 pound seminggu seperti yang dilaporkan media Britain.
Pemain Mesir berusia 29 tahun itu hanya mahu menjadi penerima gaji tertinggi kelab, dan Reds bersedia untuk memenuhi permintaan tersebut dengan cara kreatif.
Kontrak sedia ada Salah bakal berakhir pada 2023 dan Liverpool sedia memberikan gaji yang lebih tinggi kepadanya berbanding yang dinikmati penerima gaji tertinggi mereka ketika ini, Virgil van Dijk iaitu 220,000 pound (RM1.25 juta) seminggu.
Selain memberi kenaikan gaji, Reds akan menawarkan yuran perpindahan lumayan kepada Salah untuk mengikatnya di Anfield bagi tempoh yang lebih lama.
Liverpool tidak rela kehilangan Salah yang sudah sudah meledak 15 gol dalam 12 perlawanan musim ini, termasuk jaringan hatrik ketika membelasah Manchester United 5-0, Ahad lalu.
“Ia tidak bergantung kepada saya tapi kalau anda tanya saya, sudah tentu saya mahu kekal sehingga hari terakhir (karier) bola sepak saya.
“Apa pun saya tidak boleh bercakap banyak tentang perkara itu, ia bukan di tangan saya. Bergantung kepada apa yang kelab mahukan.
“Ketika ini, saya melihat karier saya bersama Liverpool. Saya tidak boleh melihat diri saya beraksi menentang Liverpool kerana itu akan membuat saya sedih,” kata Salah. – AGENSI