WATFORD: Liverpool kehilangan Alisson, Curtis Jones, Thiago Alcantara dan Fabinho, namun itu tidak menghalang mereka daripada membelasah Watford 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang kembali bersambung selepas rehat antarabangsa sebentar tadi.
Roberto Firmino meledak hatrik, manakala Mohamed Salah terus mempamer sentuhan magis dengan menggelecek beberapa pertahanan lawan sebelum merobek gawang Watford ketika Liverpool mengganas di Vicarage Road.
Menguasai permainan sejak awal Sadio Mane membuka jaringan Reds pada minit kesembilan selepas menerima hantaran cantik Salah.
Tidak dipanggil oleh skuad kebangsaan Brazil pada kelayakan Piala Dunia 2022 nyata memberi hikmah buat Firmino apabila akhirnya menampilkan prestasi hebat dengan meledak gol kedua pada minit ke-37 dan menjadikan kedudukan 3-0 di minit ke-52.
Salah kemudian membuktikan mengapa dia berhak mendapat kenaikan gaji apabila sekali lagi mempamer sentuhan magis dengan menewaskan beberapa pemain tuan rumah sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk gol keempat Liverpool pada minit ke-57.
Mendahului 4-0 masih tidak memuaskan Liverpool. Ketika permainan menunggu masa untuk ditamatkan, Firmino melengkapkan hatriknya pada waktu kecederaan.
Kemenangan itu membolehkan Liverpool merampas takhta Liga Perdana dengan 18 mata, dua mata mengatasi Chelsea. – AGENSI